Sunday, April 13, 2008

Kementerian Penerangan Perlu Direkayasa


Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata kementerian itu memerlukan perekayasaan bersesuaian dengan perkembangan media terbaru supaya ia terus relevan selain menjadi ejen perubahan kepada masyarakat.

Katanya arah pemberitaan perlu berubah dengan memberikan hala tuju berorientasikan rakyat selain memberi keutamaan kepada sesuatu yang mempunyai nilai berita, dan bukan hanya tertumpu kepada kenyataan menteri-menteri yang dianggap semakin lama semakin tidak menarik.


"Doktrin media sekiranya menganggap ia masih sebagai propaganda ia ada adalah fungsi yang lapuk. Orang memerlukan media dari segi maklumatnya, dari segi pendidikan dan fungsi kritiknya untuk rakyat mengkritik sebab kita mesti akui setinggi manapun, kita (masih) tidak sempurna. Jika kita tidak mendengar kritikan rakyat, akhirnya kita dijatuhkan," katanya dalam wawancara rancangan Helo Malaysia yang disiarkan Bernama TV Sabtu malam.

Beliau ditemuramah oleh Pengerusi Bernama Datuk Seri Mohd Annuar Zaini.

Berikut adalah petikan penuh wawancara berkenaan:

SOAL (S) : Adakala kita dari luar rumah melihat sesuatu dari jendela, ada satu gambaran dan persepsi. Sebelum Datuk menjadi menteri di Kementerian Penerangan 10 hari ini, apakah persepsi terhadap kementerian dan misalnya dalam impian dan persepsi satu hari dalam kementerian ini, tentulah ada perkara yang Datuk rasa boleh bawa idea, program dan sebagainya.

JAWAB (J): Ada waktu dulu saya lihat Kementerian Penerangan sebagai satu kementerian penting dalam kementerian-kementerian yang ada.Tanggungjawabnya besar dan banyak perkara yang dikaitkan. Soal penerimaan rakyat kepada dasar-dasar kerajaan sering dipertanggungjawabkan kepada kementerian ini.Sudah tentulah kadangkala persepsi orang, Menteri Penerangan ini dianggap Menteri RTM. Itu persepsi. Kemudian RTM itu sendiri menghadapi masalah kurang ditontoni dan sebagainya. Ini dikaitkan dengan cabaran yang kita terpaksa hadapi.


S: Saya mengikut dua kenyataan yang Yang Berhormat lakukan. Yang pertama Datuk memberi pengiktirafan mengenai relevannya kumpulan penulis blog dan peranan mereka. Dan yang kedua, dalam satu jamuan makan tengah hari dengan ketua-ketua pengarang dan pegawai kanan akhbar, Datuk mengatakan mahu memberi satu dimensi baru pemberitaan tidak lagi semestinya Menteri Penerangan itu orang ketiga pencetus berita setiap hari. Kalau boleh dihuraikan lebih lanjut?

J: Yang pertama saya beritahu diri saya dan juga rakan-rakan selalunya saya sebagai orang politik semakin lama semakin kurang untuk menunggu Berita jam 8 untuk mendapat maklumat dari televisyen. Saya percaya ramai yang begitu.Selalunya apabila saya mencari berita dengan membaca akhbar di waktu pagi. Yang lainnya bila balik rumah, selalunya tengah malam, saya mula melayari Internet untuk mengambil mana yang saya tertinggal dari segi pemberitaan.Dalam Internet sekarang bukan sahaja akhbar tetapi TV pun ada.

Kadang-kadang wawancara yang tertinggal, yang dikatakan bagus, saya pergi ke Internet.Oleh sebab itulah saya katakan bahawa menemui 'bloggers' itu bukanlah kerana semata-mata kerana ada isu, lepas pilihan raya dikatakan bloggers itu penting dan sebagainya tetapi ini adalah` mode of media' atau sebagai kaedah orang mendapat maklumat yang baru dari Internet ataupun blog. Ia tidak ada masalah airtime, ruang terbatas yang ada dalam tv sebagainya.

Kalau orang nak tengok 'YouTube' itu berapa banyak dan berapa lama dan pada bila-bila masa dan bila nak baca pendapat, tidak ada sekatan dari segi keterhadan muka surat berbeza dengan surat khabar.
Saya banyak mengikuti pendapat umum. Misalnya dulu sebagai Setiausaha Parlimen sebelum nak pergi menjawab soalan itu saya kena bayangkan apakah bentuk soalan yang bakal dikemukakan. Saya kena tengok apa pandangan penulis blog. Sebab itu saya katakan dunia siber menjadi semakin penting.

Misalnya di Amerika sendiri walaupun mereka jauh lebih maju dari kita, televisyen masih nombor satu. Yang kedua radio, yang ketiga akhbar dan keempat, barulah Internet.Tetapi Internet semakin penting yang mesti kita akui bahawa mereka perlu didekati, selami perasaan mereka dan apa pandangan mereka dan sebagainya. Yang kedua tadi mengenai pembentangan berita.

Saya percaya kaedah orang melihat tengok RTM mula dengan kenyataan dari satu menteri ke satu menteri.Satu pendekatan yang saya rasa semakin lama semakin tidak menarik. Kalau kerajaan nak sampaikan apapun mestilah melalui medium yang menarik. Walaupun saya percaya bukanlah satu peraturan yang dibuat oleh menteri sebelum ini mesti nombor tiga, tetapi ini persepsi orang ramai bahawa Menteri Penerangan mendapat publisiti lebih dari menteri-menteri lain.

Tadi saya ke bilik berita saya beritahu banyak perkara bukannya Menteri Penerangan yang jawab.Kementerian Penerangan menjadi fasilitator untuk mempermudahkan semua kementerian lain untuk menjawab ataupun untuk menerangkan. Ini peranan kami untuk menyampaikan maklumat kepada kementerian untuk menjawab.

Sebab itu saya katakan nilai berita itu mestilah diberi keutamaan. Kalau berita itu dari luar negara, penting itu yang menjadi minat orang ramai, dan isu besar, itulah yang didahulukan tidak semestinya menteri kita didahulukan.Itu yang saya rasakan satu pendekatan yang perlu diingatkan kepada kaedah pemberitaan kita.


S: Berdasarkan kaitan dan latar belakang dengan Kementerian Luar, saya ingat semasa mula merdeka dan Malaysia ditubuhkan kita sebuah negara baru dan mengambil daya usaha untuk membuat satu penetrasi kepada negara luar supaya negara ini diketahui dunia. Dan atase penerangan adalah salah satu institusi yang cukup penting memenuhi peranan tersebut. Berdasarkan pengalaman di Kementerian Luar dan dibawa mengetuai Kementerian Penerangan, apa program yang dirasakan yang perlu dijawab pada masa ini dari segi imej politik kita di peringkat antarabangsa?

J: Saya rasa sekarang ini kita tidak boleh lari dari persepsi negara lain terhadap negara kita kerana kita semakin terdedah. Kalau orang nak berdagang, berniaga dengan kita, pelabur nak datang, melancong mereka ingin tahu mengenai negara kita. Dari itulah dari semasa ke semasa peranan yang dimainkan oleh duta-duta kita cukup penting.

Dan ada kalanya penerangan perlu dibuat sekiranya ada isu. Misalnya ada berlaku demonstrasi yang dibuat beberapa kumpulan dalam negara kita. Bila demonstrasi ini dipaparkan melalui media antarabangsa ia menimbulkan kebimbangan masyarakat antarabangsa untuk terus berhubung dengan kita, jadi penerangan perlu dibuat.

Satu, kebijaksanaan yang perlu dimainkan oleh duta-duta kita, kadangkala terpaksa mereka menulis dalam akhbar bagi menjawab komen dan pandangan orang ramai. Tetapi ada perkara secara langsung kita memberi penerangan kepada mereka sama ada melalui duta-duta kita di sana, di mana kita boleh menyampaikan maklumat melalui Internet, surat-surat kita kepada mereka yang berkenaan. Sebab itulah penerangan ini akan terus memainkan peranan dan fungsinya dalam memaparkan imej negara.


S: Adakah pendekatan mereka itu memenuhi hasrat yang mahu dicapai? Kalau saya tinjau bentuk pemberitaan dan laporan akhbar luar negara, ruang simpati lebih kepada kumpulan yang menentang kerajaan dan parti-parti yang berlawan dengan kerajaan.

J: Selalunya banyak orang menganggap lebih nilai beritanya sekiranya ada pertentangan. Kalau aman sahaja tak ada nilai berita. Sebab itulah ada kencederungan pemberitaan yang dibuat oleh media antarabangsa misalnya menonjolkan sesuatu yang berkaitan pertentangan, ada konflik dan sebagainya.

Itu nilai berita yang mereka menganggap lebih laku dijual. Tapi ini tanggungjawab kita. Kita tidak boleh menganggap apabila pemberitaan dibuat begitu rupa ini adalah pandangan negara berkenaan.

Sebab kita tahu media sekarang ini semakin lama semakin bebas dan mereka akan mencari jalan bagaimana untuk melariskan pemberitaan mereka, akhbar mereka untuk memaparkan perkara yang dianggap menarik.


S: Saya kembali kepada institusi untuk memainkan peranan yang berkesan itu. Adakah dalam perancangan dua kementerian yang bergabung iaitu Kementerian Penerangan dan Kementerian Luar perlu dizahirkan semula, untuk diaktifkan semula peranan atase penerangan di luar negara terutamanya negara-negara yang sangat bermakna kepada kita yang kita telah dilukis dengan keadaan yang tidak begitu baik?

J: Saya rasa dalam konteks penerangan, atase yang sudah ada yang bergerak bersama kedutaan kita di negara-negara yang kita rasa penting hubungannya, misalnya soal perdagangan, kita sudah ada atase pendidikan, pelancongan dan sebagainya.

Setakat ini saya fikirkan kita tidak perlu ada seorang yang sedia menjawab sahaja kerjanya, sedangkan jika menyalurkan jawapan mengenai isu-isu yang ditimbulkan melalui duta kita di sana sehingga sekarang saya rasakan sudah mencukupi. Mengadakan atase tersendiri akan melibatkan kos yang lain.


S: Tetapi dalam zaman ini maklumat itu satu komponen yang penting pada masa ini. Saya melihat waktu kita sebuah negara muda yang sumber kewangan tidak sebesar sekarang tetapi Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri pertama itu adalah prioritinya.

J: Ya, pada waktu itu nak salurkan berita (susah). Masa itu Internet belum ada, banyak bahan guna teleks, telegram, telefon. Nak bercakap telefon pun perlu 'booking' (tempah) masa dan sebagainya. Jadi perlu kita letakkan seorang untuk menjawab bagi pihak kerajaan bahawa Malaysia ini indah untuk pelancong datang dan sebagainya.

Waktu itu Kementerian Pelancongan pun tak ada lagi. Kewajaran pada waktu itu adalah seorang yang terangkan pasal Malaysia. Bukan sahaja dari segi isu tetapi kebaikan lain soal pelaburan pendidikan pelancongan dan sebagainya.

Tetapi penerangan kita dari aspek lain sudah banyak. Atase perdagangan kita ada untuk salurkan berita sekarang cukup mudah dan tak perlu ada seorang berada di sana. Itu pandangan saya.
S: Bagaimana dengan kaedah yang digunakan oleh saluran media negara? Banyak tanggapan mengatakan salah satu punca kekalahan besar parti pemerintah ialah kegagalan memenangi minda pengundi dalam pilihan raya umum sebab mereka masih menggunakan pendekatan media secara yang lama.


J: Saya tidak fikir sangat bahawa menggunakan kaedah yang lama itu menjadi punca tetapi isi atau cara kita menjawab tentang beberapa isu yang ditimbulkan oleh pihak yang tidak bersetuju dengan kerajaan misalnya itu yang perlu dipertingkatkan.Pandangan dan kritikan orang semakin sofistikated sekarang ini.

Ada yang benar, kurang benar dan separuh benar dan sebagainya. Saya memberi contoh seorang anak muda yang balik mengundi dan kemudian saya jumpa di sini.Menurutnya, kebanyakan anak muda tak mengundi BN, bukan kerana anti BN, Umno tetapi BN tak berapa nak dengar pandangan mereka. Nak minta benda yang kecil sahaja bukan benda besar iaitu supaya turunkan harga minyak, itu sahaja. Ini apa dikongsi ramai anak muda yang tinggal di Lembah Klang. Dia kata inilah kebanyakan kami.

Bila pembangkang menawarkan kalau dia naik (menang), harga minyak diturunkan sudah tentu kita akan sokong pembangkang. Buat tak buat, soal lain, nanti kita undilah balik BN pada pilihan raya akan datang.Jadi saya tanya, saudara tahu tak kalau diturunkan harga minyak membabitkan kos yang besar, subsidi sekarang pun dah besar. Kalau nak, kurangkan lagi kos besar. Kalau orang kampung dengar kecil hati mereka.

Di sini jalan dah baik, klinik dah baik, hospital dah ada pembangunan dah cukup. Tapi bagi orang Felda, mereka hendak sekolah, nak jalan raya, nak hospital, kemudahan lain yang perlu dibangunkan sudah tentu dinafikan hak mereka jika ambil duit itu untuk subsidi. Jadi dia terfikir benar kata saya itu kerana selama ini dia menganggap bahawa dia marah kerana harga minyak mengakibatkan gaya hidup mereka terjejas.

Nak beli (pakaian jenama) Armani, jenama-jenama baru dah tak boleh dibeli kerana wang mereka semakin kecil akibat kenaikan harga minyak. Jadi mereka nak hukum soal harga minyak dihukum di kampung dengan mengundi pembangkang.


S: Tapi kita tengok dia jadi marah kerana harga minyak naik. Kita harus akui hakikat cara kerajaan naikkan harga minyak pun tanpa apa-apa penerangan. Saya pun tak tahu. Tidak ada perancangan media yang tersusun dalam meletakkan dasar yang begitu penting.

J: Isu itu sebenarnya boleh diterangkan. Tetapi kalau penerangan itu tidak dibuat dengan cara yang baik menyebabkan orang tak faham. Tak ramai orang yang tahu bahawa harga minyak kita naik kerana harga minyak dunia naik.

Ada kaitan perang di Iraq, permintaan dari China dan India yang semakin banyak.Ramai yang tak tahu pun minyak kita antara termurah di dunia dan ada yang tak faham pun kita dah ada keluar minyak Petronas kenapa tak digunakan duit itu untuk menampung harga minyak. Inilah penjelasan yang perlu diberikan untuk dimainkan oleh kita semua.


S: Dalam menghadapi cabaran begini yang menarik kepada saya ialah kekayaan pengalaman YB kerana pernah mewakili Parti Semangat 46 dalam pembangkang dan merasai tekanan dan kekecewaan sebagai pembangkang dan kemudiannya masuk Umno dan 46 dibubarkan. Dengan pengalaman itu tentu perlu kita membuat satu media doktrin yang baru. Saya katakan demikian bahawa kalau kita masih dengan cara lama kita makin hari akhbar utama dan akhbar perdana dan stesen media elektronik termasuk RTM dan Bernama orang sudah ada media alternatif.Apakah cabaran utama untuk menggariskan satu doktrin media yang baru untuk menjadi garis panduan daripada sekarang dalam era siber ini?

J: Saya berterima kasih kerana mengingatkan sejarah saya yang saya anggap bukan sejarah hitam tetapi memberi pengalaman kepada saya kerana pada waktu itu dikaitkan kepada apa yang berlaku pada Umno dan rakan-rakan yang bersama dalam Semangat 46 yang cintakan pada Umno.

Semangat 46 dibubarkan kerana kami percaya dalam apa keadaan sekalipun kami merasakan jawapan kepada masalah rakyat masih kita rasakan Umno yang mampu melaksanakannya. Keterbukaan yang ditunjukkan oleh pucuk pimpinan pada waktu itu dan sekarang ini memberi ruang untuk kita terus memainkan peranan.

Mengenai media tadi, saya setuju doktrin tentang media kalau dianggap sebagai satu alat propaganda sudah tentu dianggap fungsi yang lapuk. Orang memerlukan media dari segi maklumatnya, dari segi pendidikan dan fungsi kritiknya untuk rakyat mengkritik sebab kita mesti akui setinggi manapun kita tidak sempurna.

Jika kita tidak mendengar kritikan rakyat akhirnya kita dijatuhkan. Dan kenyataan yang terpaksa kita terima apabila Bapa Kemerdekaan kita dahulu menggunakan konsep kerajaan demokrasi berparlimen yang memerlukan pilihan raya setiap lima tahun akhirnya kita kena jumpa rakyat.

Kita kena dengar pandangan rakyat yang kini lebih sofistikated dan canggih. Dulu kita buat ceramah di kampung tetapi sekarang kalau kita buat ceramah di kampung belum tentu orang datang. Bukan sahaja kita katakan ini untuk parti kerajaan tetapi juga parti pembangkang semakin lama susah untuk mendapat audiens kecuali waktu pilihan raya. Kerana mereka mempunyai pelbagai media alternatif dan boleh berkomunikasi secara mudah menggunakan telefon, sms, internet, blog dan sebagainya.

Sebab itulah media arus perdana yang kita anggap selama ini itu sahaja yang memonopolikan berita mempunyai peranan semakin kecil walaupun masih besar tetapi semakin kecil.Kemudian rakyat semakin pandai, mempunyai keupayaan berfikir semakin tinggi dan tak mahu saluran media yang bersifat berat sebelah dan apabila melihat berat sebelah mereka kata ini tidak benar dan tidak bebas. Jadi sebab itu mereka beralih kepada media alternatif.

Sebab itulah konsep pemberitaan yang dimainkan sekarang perlu dilihat kembali dan televisyen pula apabila teknologi meningkat saya percaya televisyen juga boleh dilihat dalam internet. Orang boleh tengok televisyen tanpa parabola.


S: Satu pengakuan Datuk satu penyampaian yang berbeza daripada yang konvensyenal. Dalam tempoh dua minggu ini ada dinamik dalam gaya dan keterbukaan pemberitaan termasuk dalam New Straits Times yang dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan parti pemerintah. Mereka adalah yang terawal yang membuat wawancara dengan Menteri Besar Selangor.

The Sun pula membuat wawancara dengan penasihat Parti Keadilan Rakyat Anwar Ibrahim dan The Star dua muka dengan Menteri Besar Selangor dari parti PKR. Itu sudah ada anjakan dalam media cetak. Dan ini adalah cabaran sebenarnya kepada stesen televisyen dan elektronik dan lebih mencabar adalah agensi berita di bawah kerajaan, kementerian termasuk Bernama.Bagaimanakah imbangan yang seharusnya dibawa ke Jemaah Menteri satu fahaman dengan dinamik baru yang berlaku ini.

J: Kita tidak boleh mengatakan tiada langsung, tiada ruang yang diberikan kepada pihak yang menentang kerajaan dalam tv nasional termasuk TV1 dan sebagainya. Ada diberikan misalnya ruang debat, debat dalam parlimen, bukan sahaja pembangkang tetapi rakan-rakan dalam pmerintah yang mengkritik kerajaan diberikan ruang yang besar dan ini sebahagian keterbukaan yang dibuat oleh pucuk pimpinan kita pada hari ini. Kita juga perlu menerangkan bahawa tidak mendapat liputan bukan bermakna negatif kepada mereka atau positif kepada mereka.

Ada orang yang terlalu banyak ruang yang diberikan, mereka semakin tidak popular. Kerana ia akan mendedahkan seseorang itu dari segi kemampuannya, dari segi kebijaksanaannya, kebolehannya dan sebagainya. Ada banyak perkara saya rasakan dalam memberi ruang kepada pembangkang misalnya, kalau dilihat contohnya janji dalam pilihan raya.

Saya rasa pembangkang akan berhadapan dengan masalah lebih besar kalau diberi ruang dan ada orang berdebat dengan mereka. Misalnya dalam satu masa nak turunkan harga barang, gaji minimum. Orang macam ini patut turun dan berdebat di tv terangkan macam mana tukang kebun, amah (dibayar gaji minimum) RM1,500. Bagaimana dengan orang lain pula.


S: Saya minta tiga, empat orang wartawan Bernama di bawah 30 tahun berbual dengan generasi muda di Lembah Klang yang 200 jawapan yang terdiri dari profesional, mahasiswa, pensyarah guru peguam doktor. Pandangan mereka mengapa tidak ada keberanian dalam media. Mereka membandingkan pilihan raya yang sedang berlaku di Amerika di mana parti Demokrat mendapat liputan sama. Mereka kata mereka cukup mempunyai latar belakang untuk membuat penilaian tetapi apa yang kami marah apabila seolah-olah diblackout langsung berita yang kami nak dengar dari belah pihak lain. Jadi kami tak perlu tengok langsung. Itu satu maklum balas yang saya rasa cukup berharga.

J: Kita menyedari perkara ini. Kalau tidak saya rasakan RTM misalnya akan menghadapi masalah dari tontonan orang ramai. Sebab itu kita rasakan kepentingan yang perlu ditumpukan ialah `viewer orientation' atau orang nak tengok kita. Orang nak tengok kita berdasarkan kepercayaan dan keyakinan mereka bahawa RTM dan TV lain yang dianggap lebih berkredibiliti, integriti tinggi dan perseimbangan dalam apa yang dipaparkan untuk orang ramai. Saya setuju dalam hal ini.


S: Satu dari agensi Kementerian ialah Jabatan Penerangan. Dulu semasa menghadapi ancaman komunis, Jabatan Penerangan cukup berkesan dalam kerja gerak saraf dan perang saraf . Tetapi dalam dunia siber sekarang adakah kaedah mereka itu masih sesuai untuk dunia siber atau memerlukan satu rombakan cukup besar untuk disesuaikan peranan dan fungsinya?

J: Saya setuju banyak orang mengatakan terutama sekali bila keputusan pilihan raya banyak dasar kerajaan tak difahami kerana kegagalan Jabatan Penerangan. Tapi kalau menang kerana wakil rakyat bagus. Tahun 2004 kita (BN) menang besar tak ada pun orang puji Jabatan Penerangan main peranan. Calon kata mereka pandai jaga rakyat dan sebagainya. Itu adalah satu kebiasaan.

Tetapi bagaimanapun saya dalam peringkat dalam meneliti kembali semua jabatan-jabatan yang kita ada dan sebenarnya saya dah mengeluarkan arahan supaya diadakan branding auditing, bukan sahaja RTM tetapi jabatan kita.

RTM perlu dibuat kembali sebelum ada perekayasaan yang perlu dibuat untuk menyusun kembali dalam jabatan- jabatan ini.


S:Apakah 100 hari pertama YB Datuk ingin melihat satu peralihan, perubahan ataupun pencapaian dalam Kementerian Penerangan?

J: Kalau perlu diubahkan pertama sekali ialah RTM misalnya. Jangan salah erti saya nak jadi Menteri RTM. Pertamanya mesti berorientasi rakyat. Orientasi kepada rakyat ini tidak semestinya kita memenuhi apa kehendak rakyat. Suatu ketika dahulu ketika wayang pacak Jabatan Penerangan adalah ejen perubahan kepada masyarakat. Dan masyarakat berubah kerana agensi ini adalah ejen perubahan.

Sekarang ada pandangan bahawa rakyat hendak berubah lebih besar lagi dari segi kehidupan, kebebasan berfikir dalam melihat kerajaan yang lebih baik. Good governance (tadbir urus) bukan sahaja dari segi undang-undang tetapi juga dalam unsur check and balance, perdebatan lebih telus dan terbuka.

Tetapi ada orang menganggap bahawa yang menjadi resistance sekarang ialah RTM, yang tak mahu kepada perubahan. Saya rasa ini juga perlu ditukar, kembali berperanan sebagai ejen perubahan dan sebenarnya ini sudah disebut oleh Perdana Menteri. Tetapi ada di peringkat transisi orang tak faham kerana mana bangunan baru.

Sudah lama dianggap bahawa pemerintahan baik disebutkan ada bangunan baru, airport baru dan sebagainya dilihat secara kasar. Tetapi aspek yang lembut seperti ini tidak dianggap lagi perubahan yang hendak dibuat. Saya bimbang satu masa nanti kesan pada keputusan pilihan raya ada tekanan yang mengatakan kita kalah pilihan raya kerana terlalu terbuka maka kita kena tutup balik. Ini yang saya bimbang sekali. Saya harap rakyat faham supaya tidak menganggap keterbukaan yang cuba dibuat Perdana Menteri itu merupakan kelemahan beliau. Dan keterbukaan itu diambil kesempatan oleh orang untuk hanya menonjolkan perkara yang tidak baik. Keterbukaan itu sendiri mesti disokong dan kerajaan yang menuju ke arah keterbukaan sepatutnya digalakkan dan bukan dijatuhkan.

Mengenai perekayasaan, ini perlu kita buat dengan pendekatan-pendekatan baru. Misalnya ada negara yang mempunyai jabatan rasmi blog di mana orang boleh mengeluarkan pendapat boleh mengeluarkan pandangan termasuk perkara-perkara yang dianggap sensitif dulu seperti kenapa Naib Canselor Universiti mesti Melayu, kenapa Menteri Besar Perak itu tak boleh bukan Melayu. Dulu kita tidak bincangkan perkara ini dalam akhbar.

Tetapi ia perlu dijawab mungkin perkara ini timbul dalam blog kerajaan rasmi kita mesti menjawab dan mempertahankannya. Kalau ada perkara tak boleh dipertahankan, perkara-perkara tertentu misalnya, ia perlu dikaji semula. Tetapi saya percaya banyak dasar-dasar itu dipertahankan. Bukan tak boleh dipertahankan tetapi tak ada ruang untuk ada timbal balas dengan mereka maka menyebabkan orang berfikir kita tidak ada jawapan kepada perkara- perkara demikian. Misalnya orang cakap jangan layan cakap kedai kopi tetapi wakil rakyat boleh dijatuhkan daripada cakap-cakap kedai kopi.

Sekarang ini dalam siber kafe. Jadi kita perlu pergi dengan lebih meluas berjumpa mereka bercakap dengan mereka dan ada orang boleh pertahankan kita di peringkat kedai kopi. Ia boleh membentuk pendapat orang iaitu public opinion baik atau tidaknya kita.


S: Dua perkara ingin dicapai dalam 100 hari ini ialah untuk meyakinkan kerajaan supaya amalan keterbukaan ini kita pertahankan malah lebih berani.

J: Bukan sahaja kepada kerajaan tetapi juga rakyat. Kita kena ingatkan rakyat kalau rakyat tidak menghargai keterbukaan dibuat kerajaan sekarang dengan mengambil kesempatan itu mungkin keterbukaan itu akan ditutup balik. Saya bukan memberi amaran tetapi bimbang di bawah kepimpinan Pak Lah banyak generasi yang mahukan keterbukaan tetapi tidak semestinya ia akan disokong sekiranya orang melihat keterbukaan itu tidak mendatangkan faedah kepada negara dan sebagainya. Orang rasa baik cara zaman dulu.Keputusan tanpa pandangan orang lain dan lebih senang maka kita akan kembali kepada cara lama. Sebab itulah kita hendak rakyat menyokong dan menilai perkara ini.


S: Akhir sekali, YB tentu tak dapat bergerak lebih jauh dari Lembah Klang. Ada 13 negeri, jabatan, warga kementerian yang akan melihat arah tuju kepimpinan Yang Berhormat. Ada seruan melalui program ini kepada warga kementerian Apa amanat awal yang ingin disampaikan?

J: Saya merasakan apabila melihat rakan-rakan di kalangan penulis blog, kekuatan mereka ialah menulis dengan hati mereka. Sebab itu mereka ada komitmen yang tinggi dan menulis, sanggup berjaga tanpa bayaran, elaun, bayaran lebih masa dan sebagainya. Mungkin dia tak setuju, marah, dendam dan perkara-perkara yang bersifat rasional. Sebab itu saya beritahu, jentera penerangan kerajaan juga perlu bekerja dengan hati mereka, faham dan menghayati bahawa sehingga sekarang tidak ada kerajaan yang lebih baik, tidak ada kumpulan yang lebih baik, banyak jasanya.

Ada kelemahan, itu kita tidak nafikan kepimpinan tidak kita katakan sempurna tetapi yang membina negara ini, menukar corak negara ini dan maju sehingga hari ini, inilah dia.Jangan kita musnahkan parti yang ada, kerajaan yang ada kerana marah tadi. Dan mesti kita bekerja memujuk rakyat untuk memahami dan menilai segala kebaikan yang ada dan memperbaiki kelemahan yang ada secara ikhlas dengan hati kita.Kalau kita tak dapat terangkan hati kita macam mana kita nak terangkan hati orang ramai.

Kalau kita hanya berada di dalam kementerian, jabatan, radio dan tv semata-mata kerana gaji overtime (lebih masa) dan sebagainya kita tak dapat menandingi media-media yang menulis dengan hati mereka. Tetapi kekuatan kita saya rasakan bukan sahaja kita bekerja dengan hati tetapi perlu bekerja dengan akal fikiran dan turun ke bawah dengan berhujah dengan serasional mungkin. Rasionaliti yang susah, hendak mendidik orang kita berfikir dengan rasional berhujah fakta dan analisis yang lebih sofistikated yang perlu ada dalam jentera penerangan kita.Dan ini susah tetapi saya percaya boleh dibangunkan.

Dan kalau kita buat begitu saya berkata bukan soal menjadi ejen propaganda tetapi ejen perubahan dalam masyarakat kita dan rakan-rakan warga penerangan akan mampu melaksanakan dengan baik dan berkesan.